Pages

Thursday, June 9, 2011

NH : Cabaran 50 Buku : (24) Jiranku Kekasihku



Penulis : Lysa Allysa
Penerbit : Fajar Pakeer
Sem. Malaysia: RM22.90

Jiranku kekasihku mengisahkan percintaan antara Shahrizal dengan Faiza yang tinggal berjiran. Shahrizal seorang doktor manakala Faiza seorang ahli farmasi. Mereka bekerja di hospital yang sama.

Kisah permulaan pertemuan antara mereka yang pertama berlaku di farmasi hospital apabila Shahrizal datang mengambil ubat untuk pesakitnya, kebetulan pada masa tersebut, Faiza yang bertugas menjaga kaunter farmasi.

Pada awal-awalnya, kehadiran Shahrizal sedikit pun tidak di pedulikan oleh Faiza walaupun kelibat jejaka itu sering kali melintasi di hadapan matanya. Jejaka itu juga seringkali mencari peluang untuk menarik perhatiannya.

Kehadiran Shahrizal sebagai jiran Faiza agak membuatkan Faiza terkejut kerana terpaksa berhadapan dengan Shahrizal di tempat kerja dan juga di rumah. Rupa-rupanya, Shahrizal adalah abang kepada jiran Faiza.

Disebabkan sentiasa bertemu di tempat kerja dan di luar waktu bekerja, Faiza terpaksa menerima kehadiran Shahrizal dalam kehidupannya. Sebelum ini, kehadiran Shahrizal tidak pernah di endahkan. Lama kelamaan, setelah Shahrizal berusaha untuk terus menjadi seorang teman yang rapat dan sering menghulurkan isyarat cinta, akhirnya, Faiza menerima Shahrizal sebagai seorang kekasih walaupun perkenalan mereka teramatlah singkat.

Perhubungan Shahrizal dan Faiza mendapat tentangan hebat daripada ibu Shahrizal. Rupa-rupanya, Shahrizal beketurunan diRaja. Ini bermakna terdapat perbezaan taraf antara Shahrizal dan Faiza. Disebabkan oleh perbezaan taraf dan darjatlah perhubungan mereka mendapat tentangan dari ibu Shahrizal. Faiza juga mendapat pelbagai dugaan hidup setelah menjalin hubungan cinta bersama Shahrizal. Antara dugaan yang sering menguji Faiza adalah kehadiran rakan sekerjanya iaitu Tina yang sering mengugut untuk merosakkan kebahagiaan Faiza bersama Shahrizal. Tina sememang menagih cinta dari Shahrizal. Tina menuduh Faiza merampas Shahrizal darinya, sedangkan Shahrizal tidak pernah hanya menganggap Tina sebagai seorang pekerja bawahannya.

Tina sentiasa mengekori setiap tingkah laku Faiza. Tina juga sering memberi amaran keras supaya Faiza memutuskan hubungan cinta dengan Shahrizal. Segala perangai pelik dan terlebih suka yang ditunjukkan oleh Tina terhadap Shahrizal membuatkan fikiran Faiza bercelaru.

Keadaan makin rumit dengan kehadiran Hakimi, kekasih Faiza yang datang kembali untuk menagih cintanya semula. Ingin membetulkan keadaan. Namun, tidak diendah Faiza. Sering kali dia melarikan diri setiap kali kelibat Hakimi menghampiri. Faiza jadi sangat tertekan dan celaru. Ditambah pula dengan kejutan demi kejutan yang diterima, yang membuatkan kehidupan bahagianya menjadi kacau-bilau.

Ibu Shahrizal juga ingin menjodohkan Shahrizal dengan Tengku Shahreen. Tetapi, Shahrizal tetap berdegil mahu berkahwin dengan Faiza. Kehadiran Faiza tidak dapat diterima oleh ibu Shahrizal kerana ibunya telah mempunyai calon menantu pilihan. Kedegilan dan keras hati yang ditunjukkan oleh Shahrizal, akhirnya berjaya juga Shahrizal mengahwini Faiza. Lama-kelamaan, ibu Shahrizal dapat menerima Faiza sebagai menantunya. Hubungan Faiza dengan ibu mertuanya pulih dan mereka mesra seperti anak dan ibu kandung.

Di akhir-akhir cerita, kehadiran Tengku Shahreen untuk membalas dendam dengan Faiza kerana berjaya mengahwini Shahrizal tersangatlah tragis. Berlaku bermacam-macam insiden yang menyayat hati. Tetapi, semuanya selamat. Akhirnya terungkai juga siapa Tina dan Tengku Shahreen. Antara Tina dan Tengku Shahreen, mereka berdua mempunyai kaitan yang sangat rapat dan mempunyai satu motif yang sama, iaitu ingin menhapuskan Faiza untuk mendapatkan Shahrizal.

Hasil nukilan pertama Lysa Allysa ini membuatkan saya banyak berfikir. Banyak watak-watak yang mempunyai latar belakang diri yang tersembunyi. Seperti sebuah kisah misteri dan penyiasatan pula bila saya betul-betul menhayati dari satu bab ke satu bab yang lain. Sememang gaya bahasa dan penyampaian yang tidak membosankan. Sedikit pengajaran yang boleh di ambil dari hasil nukilan Lysa Allysa ini adalah, cinta yang lahir dari insan yang berlainan pangkat dan darjat tetap akan bersatu jika mempunyai keikhlasan yang tulus murni.

No comments:

Post a Comment