Pages

Friday, April 15, 2011

NH : Cabaran 50 Buku : (17) 2 X 5



2 X 5
Penulis: Areila Sahimi
Terbitan: Kaki Novel
Cetakan 1 2010

"kepekaan saya"
2 X 5 mengisahkan pasangan yang berkahwin atas bercaturan dua keluarga. Watak utama adalah Ahmad Zaim dan Syakirin. Mereka hidup berjiran dari kecil lagi. Ahmad Zaim mempunyai trauma pada perempuan disebabkan pernah ditinggalkan bakal isteri iaitu Sofea di hari perkahwinannya. Ibu Zaim yang tidak senang melihat anak terunanya terus membujang sampai tua, mencari calon isteri untuk Zaim dan meminang anak jiran depan rumahnya iaitu Syakirin. Syakirin gadis yang baru sahaja putus cinta gara-gara tersalah memilih ‘lelaki’ untuk dijadikan teman membuatkannya lebih berhati-hati mengenali lelaki.

Zaim sememangnya tidak menyukai perangai Syakirin menjadi haru-biru apabila mengetahui calon isteri yang dicari oleh ibunya. Haru, memang haru hidup Zaim apabila ibu dan ayahnya makin mendesak supaya cepat-cepat menguruskan hari pernikahannya bersama Syakirin. Akhirnya, Zaim terpaksa akur dengan permintaan ibu dan ayah kerana Syakirin tidak mahu mengikut pakatan yang Zaim aturkan iaitu, Zaim meminta Syakirin menolak pinangan yang dihantar oleh pihak keluarga Zaim.

Syakirin mempunyai perwatakan yang sedikit gila-gila, tidak serius dan suka menyakat Zaim. Semasa mereka keluar bersama untuk membeli barang-barang hantaran, habis licin poket Zaim dikerjakannya. Semua dipilih barang yang mahal-mahal oleh Syakirin.

Pada awal-awal perkahwinan mereka, banyak berlaku peristiwa-peristiwa lucu. Zaim hanya menganggap Syakirin hanya rakan serumahnya. Sudah menjadi adat dalam perkahwinan tanpa cinta, masing-masing buat hal sendiri. Seorang ke timur, seorang ke barat. Lama-kelamaan, disebabkan oleh perangai Syakirin yang tidak tahu malu dan selalu berpakaian tidak sopan di hadapan mata Zaim, Zaim mengalah dan mula menanam rasa cinta dalam hati untuk Syakirin.

Kisah cinta antara Zaim dan Syakirin yang tengah mekar berputik di duga dengan kehadiran kembali Sofea di dalam hidup Zaim. Sofea kembali untuk menagih dari Zaim. Hal tersebut menyebabkan cemburu menguasai diri Syakirin.

Syakirin yang mempunyai perangai yang tidak mahu kalah dengan Zaim terus mengintip segala jejak langkah Zaim dan Sofea. Hancur luluh hati Syarikin apabila melihat kemesraan Zaim bersama Sofea dan anaknya. Siapa yang boleh biarkan suami sendiri di goda oleh bekas kekasih. Tetapi, Syakirin seolah-olah putus semangat untuk terus menakluki hati Zaim kerana Syakirin tidak yakin untuk melawan kehebatan Sofea yang menjadi ratu hati Zaim dari dulu lagi.

Cemburu Syakirin makin hebat apabila Zaim selalu meluangkan masa bersama Sofea dan anaknya. Tahap cemburu Syakirin yang melampau, membuatkan tahap kemarahan Zaim memuncak dan berlakunya pertengkaran kecil. Dari pertengkaran kecil, menjadi pertengkaran besar kerana masing-masing mempunyai sikap keras kepala. Syakirin tidak mahu menerima segala alasan yang diberikan oleh Zaim. Disebabkan pertengkaran-pertengkaran yang berlaku, Syakirin telah keguguran kerana dikasari oleh Zaim. Zaim juga telah meninggalkan Syakirin terkapai-kapai seorang diri.

Akhirnya, Zaim mengetahui berita keguguran Syakirin dan terus menjejaki Syakirin. Kemaafan dihulurkan oleh Zaim, tetapi, hati Syakirin sudah beku untuk menerima Zaim. Keras hati Syakirin mula menguasai dirinya.

Sememangnya Zaim dan Syakirin mempunyai perangai yang sama. 2 X 5. Masing-masing keras kepala dan tidak mahu mengalah. Sampai bila-bila pun tidak akan merasai nikmat kebahagian jika memiliki perangai seperti Zaim dan Syakirin. Perasaan cemburu juga tidak boleh di ikutkan. Kerana sikap cemburu yang melampau, kebahagian yang sedang memuncak akan kecundang juga.

No comments:

Post a Comment