Pages

Thursday, April 28, 2011

NH : Cabaran 50 Buku : (21) Pelangi



Pelangi
Penulis : Syud, Hlovate, Noor Suraya
Penerbit: Jemari Seni
Terbitan Ogos 2009

"kepekaan saya"
Pelangi sebuah novel yang memuatkan tiga ceritera yang pelbagai jalan cerita. Hasil karya dari Syud, Hlovate dan Noor Suraya.

Cerita pertama adalah dari Syud iaitu Pelangi. Pelangi mengisahkan kehidupan seorang gadis yang telah kehilangan ibu dan ayah, hanya bergantung kasih kepada ibu saudara. Iman Aisyah, itulah gadis yang sentiasa cekal dan tabah mengharungi onak duri kehidupan di Johor Bharu. Iman Aisyah lebih dikenali sebagai Iman dikalangan saudara-mara dan teman-teman. Iman ditemukan dengan Usamah Razif oleh ibu saudaranya. Usamah Razif adalah anak kepada sahabat lama arwah ibunya. Iman dijodohkan dengan Usamah. Melihat kesungguhan Usamah yang cuba untuk memikat sekeping hati miliknya, membuatkan Iman juga semakin tertarik pada Usamah. Iman sudah terbiasa hidup seorang diri sebelum berumahtangga membuatkan Iman tidak bergantung sepenuhnya kepada Usamah. Iman seolah-olah tidak mahu berkongsi segala susah senang dengan Usamah. Namun, kisah lalu Usamah yang sedikit bercelaru telah menghantui rumahtangga mereka. Disebabkan munculnya bekas kekasih hati Usamah di depan mata Iman membuatkan berlakunya pertengkaran diantara Iman dan Usamah. Usamah yang selalu merasai dirinya sebagai pesalah, akhirnya membawa diri jauh dari Iman. Cinta yang tulus semestinya mempunyai penghujung yang indah. Begitu juga dengan kisah cinta antara Iman Aisyah dan Usamah Razif.

Cerita kedua, Ked’s Story oleh Hlovate. Mengisahkan kehidupan Ked Flop atau nama sebenarnya Khalid Faisal yang mempunyai hobi bermain ‘skate’. Ked terlalu mencintai ‘skate’nya. Ked mempunyai banyak koleksi ‘skate’. Ked tidak pernah menyerah cintanya untuk mana-mana wanita, cintanya hanya untuk ‘skate’ sahaja. Pertemuan Ked dengan seorang gadis yang sedikit merosakkan ‘skate’ kesayangannya membuatkan Ked terus untuk mengenali gadis itu dengan lebih dekat lagi. Mungkinkah cinta Ked untuk ‘skate’ telah berubah kerana kehadiran gadis yang bernama Nawal. Ked dan Nawal saling berhubung melalui emel dan telefon selepas bertemuan pertama itu. Walaupun, Ked tidak jatuh cinta pandang pertama pada Nawal, tetapi, Ked tetap mahu menyemai kasih bersama Nawal dan membina mahligai bahagia suatu hari nanti.

Rumah Kecil di Hujung Padang oleh Noor Suraya adalah cerita terakhir. Mengisahkan kehidupan seorang anak angkat iaitu Durrah. Durrah dibesarkan di sebuah perkampungan nelayan di Pulau Duyung, Terengganu. Dibesarkan bersama tiga orang abang angkat, iaitu, Haiqal, Mubin dan Nabeel. Durrah dipelihara oleh Haji Hambali dan pasangannya. Sebenarnya, Durrah masih mempunyai ayah kandung yang berada di Kota Bandung, Indonesia. Durrah terpaksa terpisah dengan ayahnya kerana kematian ibu sejak masih bayi lagi dan berlakunya perebutan hak penjagaan Durrah dengan kaum kerabat keluarga ayah Durrah iaitu Ungku Iskandar.

Durrah menjalin hubungan cinta dengan abang angkatnya sendiri iaitu Mubin sejak di alam persekolah lagi. Durrah tidak berminat untuk belajar kerana cita-citanya hanya ingin menjadi isteri kepada Mubin. Sungguh polos gadis yang bernama Durrah ini. Sanggup menyerah seluruh rasa kasih, sayang dan cintanya pada Mubin. Durrah dan Mubin mengikat tali pertunangan sebelum Durrah menduduki peperiksaan SPM lagi dan sebelum Mubin melanjutkan pelajarannya ke negara matahari terbit iaitu Jepun. Durrah tidak pernah kekurangan kasih sayang walaupun sekadar anak angkat. Jarak dan masa telah memisahkan antara Durrah dan Mubin. Mubin akhirnya berlaku curang dengan menikahi wanita jepun yang telah bergelar ibu tunggal dan mempunyai dua orang anak. Durrah begitu sedih dengan berita yang diterima. Hidup Durrah hanya bertemankan airmata setelah Mubin menkhianati cinta mereka.

Sebelum nenek angkat Durrah meninggal dunia, dia telah meninggalkan pesan supaya, Durrah yang terluka itu berkahwin dengan Nabeel iaitu anak bongsu pasangan ibu bapa angkat Durrah. Tetapi, Nabeel menolak Durrah dengan bermacam kata-kata yang boleh menjatuhkan maruah seorang gadis. Hati Durrah semakin terluka. Akhirnya, Durrah mengambil keputusan untuk membawa diri ke Bandung. Bertemu dengan keluarga lain ayahnya dan cuba untuk menyesuaikan diri dalam keluarga tersebut.

Semasa di Bandung, pertemuan Durrah dengan Dr Heru iaitu pekerja ladang ternakan sapi ayahnya. Cinta Durrah kecundang sekali lagi. Rupa-rupanya, cinta sebenar Durrah memang terlalu hamper dengannya sejak dulu lagi. Cuma, Durrah yang tidak menyedari kehadiran cinta sejatinya itu. Haiqal, adalah cinta sejati Durrah. Haiqal bijak menyimpan perasaan cintanya terhadap Durrah. Haiqal telah lama menyimpan perasaan cintanya terhadap Durrah kerana menyedari kedua-dua orang adiknya Mubin dan Nabeel juga sangat menyintai Durrah. Setelah melalui detik-detik kelukaan yang ditaburkan oleh Mubin dan Dr Heru, akhirnya Durrah mendapat kebahagian dari Haiqal.

No comments:

Post a Comment