Wednesday, August 10, 2011
NH: Cabaran 50 Buku : (32) Tak Mungkin Kuhindar
Tak Mungkin Kuhindar
Penulis: Ana Sofiya
Terbitan Fajar Pakeer
Cetakan Pertama 2010
Kepekaan saya:
Tak Mungkin Kuhindar mengisahkan kehidupan seorang gadis bernama Maria juga dikenali sebagai Lia. Maria, gadis kampung yang merantau ke kota untuk mencari rezeki dan menyara ibu di kampung. Dalam pada mencari rezeki, Maria juga tidak lari dari terjebak dengan alam percintaan. Maria bercinta dengan Wan, kawan satu tempat kerja dengannya. Maria hanya operator kilang, manakala, Wan seorang juruteknik.
Percintaan Maria dengan Wan tidak berpanjangan. Hubungan cinta mereka putus di tengah jalan kerana Wan bermata keranjang dan hanya menganggap Maria mahu mengikis duitnya.
Maria pasrah dengan perpisahan yang terjadi. Tetapi, Wan masih mahu menganggu hidup Maria. Wan seperti seorang suami yang ‘gila talak’, asyik memujuk dan merayu Maria supaya menyambung kembali kasih mereka yang telah terputus itu. Maria sentiasa melarikan diri dari Wan. Maria sudah menyampah dengan perangai Wan. Seboleh mungkin Maria tidak mahu lagi mempunyai apa-apa hubungan dengan Wan.
Pada suatu hari, Maria keluar ke Bandar seorang diri, Maria menyedari Wan mengekorinya dari belakang, disebabkan sakit hati yang melampau, Maria terpaksa berlakon dengan menarik tangan seorang lelaki yang berada berhampirannya. Maria terpaksa menebalkan muka, menyuruh lelaki tersebut berlakon menjadi pasangannya. Lelaki tersebut bernama Hisyam. Bermula dengan kebetulan dan berlakon, mereka terus berhubung dan terjadinya pertemuan demi pertemuan.
Pada mulanya, Maria tidak mengendahkan kehadiran Hisyam dalam hidupnya kerana Maria masih kecewa dengan perbuatan Wan yang telah berkahwin dengan perempuan lain. Tetapi, lama kelamaan, perasaan Maria untuk menyintai Hisyam hadir dengan sendiri.
Maria juga mempunyai sejarah hitam dalam keluarganya. Mempunyai seorang ayah yang melepaskan tanggungjawab. Ayah yang pentingkan diri sendiri dan berkahwin lain. Ayah yang tidak pernah ambil peduli kehidupan Maria, emak dan adik-beradiknya yang lain. Ayah yang suka mendera Maria semasa kecil.
Salina, gadis yang menyimpan perasaan cinta pada Hisyam. Salina selalu sangat mencemburui perhubungan akrab antara Hisyam dengan Maria. Dari alam persekolahan lagi Salina mempunyai cita-cita untuk menakuki sepenuh hati milik Hisyam, namun, tidak berjaya. Niat Salina semakin sukar setelah Maria wujud dalam hidup Hisyam. Hisyam hanya menganggap Salina sebagai seorang sahabat.
Sekali lagi, Wan muncul di antara kehidupan Maria dan Hisyam. Misi utama Wan adalah untuk melihat Maria merana, tidak mahu Maria mengecapi kebahagiaan. Tidak tahu kenapa, perasaan dendam Wan terhadap Maria makin membuak-buak. Wan, dengan senang hatinya menabur fitnah terhadap Maria. Wan mereka-reka cerita tentang keburukan Maria dan diceritakan kepada Hisyam. Entah bagaimana, Hisyam mempercayai setiap cerita yang di bawa oleh Wan. Perhubungan antara Maria dengan Hisyam hampir-hampir musnah gara-gara fitnah yang ditabur oleh Wan.
Maria membawa diri jauh dari hidup Hisyam. Setelah berbulan-bulan baru lah Hisyam tahu cerita sebenar. Akhirnya Hisyam berjaya menjejaki Maria yang berada di Utara tanah air. Mereka berdua berjaya mengecapi kebahagian bersama.
Tak mungkin kuhindar, membuat saya terfikir, seorang lelaki yang tamak pada cinta, sanggup menabur fitnah. Sanggup membuat aib pada insan yang lemah seperti wanita. Kisah ini banyak menceritakan keadaan wanita yang tertindas oleh kekuasaan dan kekuatan seorang lelaki.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment